Pembangunan Mampan

https://docs.google.com/document/edit?id=12tlGg0OgPSpAXxHNjI8EZqyp3wJqXGqs8t03qgFbfdg&hl=enPembangunan Mampan (PM)

Konsep PM:
Pembangunan mampan ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa depan. Pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampungnya; pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta kadar pencemaran yang dicetuskan ke atas bandar dan kawasan sekelilingnya.(White & Whitney, 1992) Pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira keadilan sosial, keperluan manusia asas, kesihatan awam, kesedaran persekitaran dari segi ruang dan masa. Salah satu cara untuk mencapai pembangunan mampan tersebut adalah melalui kesihatan ekonomi bandar. Justeru itu, aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan dan kemiskinan perlu diambil perhatian dan daripadanya peranan aktiviti informal serta perdagangan skala kecil(petty commodity sector) menjadi penting.(David Drakakis-Smith, 1995)

Tujuan PM:
1. Pemuliharaan Sumber
Memastikan penerusan penawaran sumber semulajadi pada masa sekarang dan akan datang melalui penggunaan tanah yang efektif, pengurangan sumber yang tidak boleh diperbaharui, pemuliharaan kepelbagaian sumber semulajadi.
Pemuliharaan merangkumi penggantian sumber, perubahan dalam cara penggunaan dan memberi perhatian kepada faktor ‘intangible’ seperti nilai keselesaan dan nilai warisan.

2. Pembangunan Fizikal
Memastikan pembangunan alam bina akan berharmoni dengan alam semulajadi di mana hubungan mereka adalah seimbang dan saling memanfaatkan.
Membantu menyedarkan komuniti tentang peluang yang terdapat di kawasan tersebut. Meminimumkan pembaziran sumber dan keburukan yang akan dibawa kepada komuniti apabila sesetengah kawasan perniagaan mengalami tekanan pembangunan yang melampau sedangkan sesetengah kawasan mengalami kemerosotan perniagaan seperti penutupan kedai dan kehilangan pekerjaan.

3. Kualiti Alam Sekitar
Mengelakkan pencemaran alam, melindungi kapasiti ekosistem dan mengelakkan pembangunan yang akan mengancam kesihatan manusia atau menjejaskan kualiti kehidupan. Mengurangkan atau mengubah proses pengeluaran atau perniagaan yang akan menjejaskan kualiti hidup manusia. Cara pembuangan dan pelupusan sampah harus dititikberatkan.

4. Kesaksamaan Sosial
Mengelakkan pembangunan yang akan menambahkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta menggalakkan pembangunan yang dapat mengurangkan ketidaksamaan sosial. Mengurangkan pembaziran tenaga manusia. Kesaksamaan sosial perlu dipelihara dari segi peluang ekonomi di sesuatu kawasan.

5. Penyertaan Politik
Menggalakkan penyertaan komuniti dalam membuat keputusan.


Strategi PM:
LOCAL AGENDA 21 (LA21)
Agenda 21 merupakan satu Pelan Tindakan Global Ke Arah Pembangunan Mampan Untuk Abad Ke-21. Ia dihasilkan melalui deklarasi Earth Summit di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 yang dihadiri oleh 178 buah negara termasuk Malaysia. Pelan Tindakan Global tersebut mengandungi 40 bab yang menghuraikan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan ke arah pembangunan mampan.

Bab ke-28 Agenda 21 menekankan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan pembangunan mampan di peringkat tempatan menerusi Program Local Agenda 21 (LA21). Oleh yang demikian LA21 adalah Agenda 21 yang dilaksanakan di peringkat tempatan. Local Agenda 21 (LA21) merupakan suatu program yang menekankan penglibatan 3 pihak, iaitu PBT, masyarakat dan sektor swasta berkerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi.

PELAKSANAAN PROGRAM LA21 DI MALAYSIA
1. Projek Perintis LA21 (2000)
Program LA21 ini dimulakan pelaksanaannya di Malaysia pada tahun 2000 melalui Projek Perintis LA21 yang melibatkan 4 buah PBT, iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Majlis Perbandaran Miri (MPM), dan Majlis Daerah Kerian (MDK). Projek perintis ini dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan United Nations Development Programme (UNDP).

2. Proses-proses Pelaksanaan LA21
Wawasan Masyarakat:
Membentuk wawasan bersama masyarakat melalui bengkel ataupun seminar.

Usahasama:
Penubuhan Jawatankuasa LA21 yang terdiri daripada PBT, Masyarakat dan Sektor Swasta.

Kajian Isu Bersama Masyarakat:
Mengenalpasti isu-isu pembangunan mampan di peringkat tempatan.

Merumus Pelan Tindakan:
Pelan Tindakan LA21 dihasilkan yang menggariskan strategi dan tindakan ke arah pembangunan mampan dan menentukan petunjuk-petunjuk.

Pelaksanaan dan Pemantauan:
Pelan Tindakan LA21 dilaksana dan dipantau.

Penilaian dan Maklum Balas:
Menilai petunjuk-petunjuk dan mengumumkan hasil pelaksanaan Pelan Tindakan LA21.

3. Contoh-Contoh Aktiviti Yang Boleh Dilaksanakan Di Bawah Program LA21
Alam Sekitar :
Kitar Semula, Gotong-Royang Kebersihan, Kempen Mengurangkan Pembaziran Sumber, Pertandingan Kebersihan

Di Kawasan-Kawasan Kejiranan dan Pertandingan Melukis yang bertemankan alam sekitar untuk peringkat

kanak-kanak sekolah.
Sosial :
Integrasi sosial dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bagi menggalakkan dan mengeratkan hubungan sosial seperti sukan rakyat, motivasi pelajar, pengawasan kejiranan (neighbourhood watch), Program Kenalilah Jiran Anda dan Lain-lain aktiviti yang turut meliputi aspek keselamatan seperti Program Kesedaran dan Pencegahan Jenayah.

Ekonomi :
Menggalakkan aktiviti ekonomi yang boleh menyumbang kepada proses kesedaran terhadap alam sekitar seperti penghasilan produk-produk environmental friendly, terlibat dengan lebih kerap dalam kegiatan
menaja aktiviti-aktiviti alam sekitar dan sosial bagi membentuk imej korporat yang bertanggunjawab. Penjualan bahan-bahan untuk Program Kitar Semula misalnya bukan sahaja boleh memelihara alam sekitar malah boleh memberi sedikit pulangan ekonomi.

Fungsi kerajaan
Penang Bridge Georgetown

Cleaner Greener Penang :
Panduan untuk kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri Pulau Pinang lebih mesra alam dan meningkatkan kualiti kehidupan.Ia merupakan initiatif kerajaan negeri tetapi memerlukan penglibatan para penduduk dalam negeri.
website :www.cleanergreenerpenang.com

Fungsi badan bukan kerajaan (NGO)
Kempen Kitar Semula
Terdapat semakin banyak badan bukan kerajaan mengambil initiatif untuk menganjurkan kempen kitar semula. Semakin ramai juga orang ramai yang sudi mendermakan barangan yang boleh dikitar semula kepada badan bukan kerajaan akibat daripada kesedaran yang semakin meningkat.